Monday, October 18, 2010

Majlis-Majlis Kemanusiaan di PBB




Apakah sebenarnya yang dilaungkan oleh majlis-majlis tersebut? Ingin memartabatkan kebebasan wanita, atau hak-hak kemanusiaan, atau hak kanak-kanak, atau perancangan keluarga atau yang selainnya? Pendek kata, semua kebebasan dan seluruh hak di muka bumi menjadi tema perjuangan mereka. Namun, semuanya rata-rata bermotifkan politik.

Sebagai contoh, negara yang sering dituduh mencabuli kebebasan dan hak kemanusiaan dalam senarai PBB yang paling utama ialah negara Arab-Islam, kedua negara Islam bukan Arab dan seterusnya negara blok komunis dan tiada lagi yang lain selepas itu. Apakah yang diinginkan oleh mereka di sebalik semua itu?

Perhatikan realiti kehidupan sosial masyarakat Barat yang semuanya dibenarkan dalam erti kata memberi kebebasan dan hak. Akibat kebebasan berfikir, lahirlah manusia kufur tidak beragama, anti-tuhan dan hamba kebendaan. Selain itu, kesan daripada kebebasan wanita yang membuta tuli ini menyebabkan terjejasnya peranan kaum hawa sebagai isteri, ibu dan pendidik. Kaum wanita kembali dianggap sekadar untuk seks bagi memuaskan nafsu - mirip zaman jahiliah - sehingga menimbulkan masalah sosial seperti seks bebas, sumbang mahram dan bermacam bentuk maksiat dan pelacuran. Lebih parah lagi, jasad wanita bebas dipermainkan sesuka hati oleh sesiapa yang menginginkannya.

Kebebasan kanak-kanak dan remaja juga menimbulkan pelbagai masalah kepada ibu bapa dan guru. Jiwa mereka memberontak kesan keretakan rumah tangga. Dengan perlahan-lahan mereka mula mencari kepuasan naluri dan syahwat di luar rumah atau lingkungan keluarga.

Namun begitu, untuk kita menghadapi gejala tersebut, kita hendaklah menjaga hak dan kebebasan bukannya menggalakkan pemberontakan kepada sifat semula jadi manusia. Elemen ini mesti disandarkan kepada nilai spiritual dan akhlak murni yang dianjurkan oleh semua agama samawi sebagai cara hidup. Bukan dengan cara menghancurkan institusi keluarga sebagai asas binaan pembentukan sesebuah masyarakat dengan menafikan hak bapa sebagai pemimpin dalam keluarga. Kecuaian dalam sistem ini sudah tentu mengundang kehancuran hubungan kekeluargaan dan anggota masyarakat yang akhirnya menenggelamkan pandangan untuk hidup bersama demi kesatuan ummah seterusnya.

Dipetik dari Buku: Musuh Rahsia halaman 90-91

No comments:

Post a Comment