Sunday, October 17, 2010

Damascus The Best Cities Before The Judgement Day

Sebenarnya buku asal yang saya petik sumbernya adalah berjudul “Fadhail Syam” bermaksud  “kehebatan Syam” karya ulama besar yang terkenal Imam Ibnu Qudamah Al-Maqdisi. Tugas saya tidak lain hanyalah menyusun semula dari bahasa sumber Bahasa Arab ke Bahasa Melayu. Di samping menambah info baru mengenai Kota Damascus lain dari yang lain berdasarkan realiti semasa yang penulis sendiri alami sewaktu mendiami kota tertua yang pernah wujud di dunia ini. Dengan harapan para pembaca sekurang-kurangnya mendapat gambaran awal akan kehebatan bumi Syam terutama waktu akhir zaman ini yang disebut oleh nabi Muhammad sollallahualahi wassalam dalam hadith-hadith baginda.
Sememangnya nama Syam begitu terkenal namun lokasi sebenar letaknya menjadi tandatanya kita semua. Lantaran kebanyakan hadith baginda terbatas pada nama Syam sahaja. Tetapi jika diteliti pada kajian 33 hadith ini maka terdapat enam hadith yang secara jelas akan maksud Syam ialah Kota Damascus dan sekitarnya iaitu Ghotah. Kota Damascus dipilih dalam penjenamaan buku ini memandangkan rantau Syam meliputi bumi Palestin, sebahagian besar Jordan, Syria dan Lubnan. Ramai juga menamakan maksud Syam itu sendiri ialah bumi Palestin sebagai kota Isra` dan mi`raj nabi. Tetapi spesifik yang jelas untuk nama Syam merujuk dalam enam hadith tersebut nanti ialah Kota Damascus yang menjadi ibukota negara Syria sekarang ini.
Justeru itu dengan usaha kerdil saya ini sekurang-kurangnya memberi sedikit ilmu manfaat akan manifestasi yang ingin disebut dalam hadith-hadith baginda kenapakah Syam atau Damascus menjadi kota pilihan Allah di akhir zaman. Biarpun selama ini kita didedahkan akan kehebatan bumi Kota Makkah Al-Mukarramah dan Madinah Al-Munawwarah sebagai kota pilihan Allah masa hayat kelahiran rasullullah dan kebangkitan baginda menjadi utusan Allah yang merupakan insan yang paling agung di dunia ini.
Berbeza dengan Kota Syam ini kurang pendedahan dipaparkan akan kehebatannya. Sedangkan menurut perspektif hadith nabi, ia lebih terserlah berbanding kota agung lain seperti Baghdad dan Kaherah di zaman lampau begitu gah dan gemilang dalam sejarah Islam.
Tujuan saya ketengahkan keistimewaan Kota Syam ini memandangkan roh kehebatan kian terbukti lantaran fadhail Syam yang disebut itu adalah tanda-tanda kerasulan nabi Muhammad di akhir zaman yang mana kita sekarang sedang menuju ke gerbang penamatan dunia yang mana di situ dikatakan padang masyhar dunia yang disebut sebagai bandar terbaik dunia menjelang kiamat.
Di sini realiti yang berlaku pada ketika dan saat ini Damascus merupakan teduhan dan tempat perlindungan semua umat Islam yang ditimpa musibah sama ada akibat peperangan, kegawatan ekonomi, penghijrahan baru, konspirasi musuh atau sebab-sebab lain. Kebanyakan dari mereka memilih Syam sebagai tempat kediaman. Di sini dapat disaksikan pelarian dari Palestin, Iraq, Somalia dan Etophia mengambil tempat masing-masing di pinggir-pinggir Kota Damascus. Tidak terkecuali ramai dari masyarakat Arab Utara Afrika memulakan penghidupan baru mereka di sini lantaran situasi terutama di Algeria, Tunisia dan Maghribi tidak begitu selamat untuk mereka jalani dalam kehidupan muslim sejati lantaran konspirasi dan gangguan musuh proksi musuh Islam Yahudi dan Peranchis kian melampau menganggu konsentrasi mereka. Kemasukan penduduk Lubnan juga kian bertambah akibat situasi politik yang tidak menentu di negara mereka.
Itu baru kemasukan atau penghijrahan ke kota Syam di sekitar sepuluh tahun kebelakangan ini sehinggalah sekarang akibat peperangan atau ketidakstabilan politik di negara masing-masing. Itu belum lagi meninjau penghijrahan saudara-saudara muslim baru dari Eropah seperti Peranchis, German, Britian, Sepanyol, Itali dan sebagainya. Begitu juga dari Amerika, Rusia, Asia Tengah dan China. Manakala penghijrahan beramai-ramai ke Kota Damascus pada era kegemilangan kerajaan Umaiyyah sehinggalah Uthmaniyyah menjadikan Kota Damascus didiami oleh pelbagai bangsa dan agama sehingga wujud sampai sekarang kawasan yang dikenali dengan Muhajirin. Jadi keseluruhan penduduk Damascus terdiri dari bangsa Arab, Kurdis, Berber, Bosnia, Rusia, Armenia, Turki Besar, Turki Jauh (termasuk dalam negara China sekarang ini), Afrika Barat dan sebagainya.
Sesuai dengan fenomena yang disebut di atas tidak syak lagi akan terjawab dengan sendirinya persoalan mengapakah Rasululullah sollallahualahi wassalam bersabda:
“Ya Allah berkatilah buat kami bumi Syam sebanyak 3 kali seterusnya baginda menyebut berkatilah buat kami bumi Yaman juga sebanyak 3 kali”.
Dipetik mafhum hadith riwayat oleh Bukhari, Turmidzi dan Tabrani.

Sebelum kita menatapi kelebihan Kota Syam menurut perspektif hadith secara lanjut, sila perhatikan luahan seorang penulis Barat berkaitan kehebatan Kota Damascus menurut pandangan beliau;

“Siapa yang datang ke Syam nescaya dia merasakan seolah-olah seperti negaranya sendiri malah kecintaannya terhadap Damascus tidak berbelah bahagi dengan negara asalnya” oleh Harold Nelson dipetik dari buku (Dimasq Aqdam 3aashimah Fil A3lam)halaman 115.
Dalam buku ini ada menyebut…
Bumi Damascus sehinggalah sekarang masih menjadi tumpuan ulama’ dan penuntut ilmu dari pelbagai pelusuk dunia Islam. Pembaca budiman yang ingin mendapatkan maklumat sebenar mengenai realiti ini boleh menikmati kepuasan tentang keunggulan Damascus melalui penelitian ke atas gambaran sebenarnya dalam buku “Tarikh Dimasq” oleh Imam Al-Hafiz Ibnu Asakir yang merupakan seorang tokoh sejarahwan. Ia merupakan sebuah kitab yang dibukukan mengenai sejarah Damascus  sebanyak 8 juzu’. Di dalamnya dimuatkan kisah-kisah mengenai para ulama’, penyair, sasterawan, pembesar dan raja-raja Damascus berserta mereka  yang pernah mengunjungi dan membina kota yang bersejarah ini.
Tidaklah dilihat kesempurnaan sebuah kota itu tanpa mercu ilmu yang tinggi berbanding dengan kota-kota di dunia Islam yang lain. Malah pernah dikatakan Damascus ibarat sinaran bulan purnama.
Oleh itu demi tujuan tersebut Imam Al-Maqdisi RahimahuAllah Taala telah menonjolkan kepada kita keunggulan Kota Damascus melalui buku beliau “Fadhail Syam” ini dengan harapan bertambah maklumat untuk kita mengenai keistimewaan kota tersebut yang menjadi naungan Allah Taala dari segi keamanan, penjagaan dan pemerintahanNya.
Sabda Nabi sollahualaihiwasalam:
اللهم بارك لنا في شامنا وفي يمننا قالوا: وفي نجدنا. قال صلى الله عليه وسلم: هناك الزلازل والفتن وبها يطلع يطلع قرن الشيطان                                                                                                             
Ya Allah berkatilah bumi Syam dan Yaman kami, sahabat bertanya nabi pula bagaimana pula dengan bumi Najd ( meliputi bumi Arab Saudi sebelah timur hingga membawa ke Iraq sekarang ini). Di sana berlaku gempa bumi dan pelbagai malapetaka dahsyat kerana di situ akan muncul tanduk syaitan.
Riwayat Bukhari hadith 137.
Sabda baginda lagi:
فسطاط المسلمين يوم الملحمة بالغوطة إلى جانب مدينة يقال لها دمشق                                               
Kubu perlindungan umat Islam di kala tiba zaman fitnah yang dahsyat ialah di Ghotah yang membawa ke pinggir bandar yang disebut dengan nama Damascus.
Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tabrani.

Dipetik dari buku “Damascus Bandar Terbaik Menjelang Kiamat”:
Susunan: Rosli Husin.

No comments:

Post a Comment